Artikel @ EasyKereta

Berapa Lama Tayar Kereta Boleh Tahan? Ramai Pakai Sampai Botak Baru Tukar

Tarikh Artikel Ditulis: 20 April 2026

Mengikut pemerhatian saya, ramai pemilik kereta di Malaysia ni sebenarnya jenis tunggu tayar betul-betul nazak baru nak tukar. Selagi boleh jalan, selagi tu lah pakai. Ketebalan tayar tu memang dah jadi senipis kulit bawang, pun masih berani pandu dengan laju lagi kat atas highway. Siap ada yang bangga lagi, “eh tayar aku tahan lama weh!”

Tapi persoalannya, memang selamat ke? Sebenarnya, jangka hayat tayar kereta ni bukanlah sekadar tunggu sampai botak. Ada beberapa faktor yang ramai orang tak ambil kira, dan kalau kita abaikan, risiko dia bukan setakat tayar pancit. Tapi tayar boleh meletup! Ini soal yang melibatkan keselamatan diri anda sendiri, keluarga dan yang lebih penting, orang lain yang tak bersalah pun akan terbabit!

Jadi, Tayar Boleh Tahan Berapa Lama?

Secara umum tayar kereta boleh tahan sehingga 3 hingga 5 tahun, atau dalam anggaran 40,000 hingga 80,000 km. Tapi ini hanyalah anggaran kasar sahaja. Realitinya, ada tayar yang cepat haus walaupun baru pakai 2 tahun. Ada juga yang nampak elok, tapi sebenarnya dah tak selamat digunakan.

Kenapa jadi macam tu? Sebab jangka hayat tayar sangat bergantung pada cara anda guna kereta tu sendiri. Anda sedar diri anda pandu kereta macammana kan? Haa, itu lah penentu samada tayar kereta anda akan tahan lama atau tidak.

Apa Yang Menyebabkan Tayar Cepat Haus?

1. Cara Pemanduan (Driving Style)

Kalau anda jenis suka tekan minyak kuat-kuat, brek mengejut, atau ambil selekoh laju, memang lah tayar kereta anda cepat haus. Tayar tu ibarat kasut, kalau hari-hari pakai lari pecut, tiap tiap hari pakai untuk hiking, pasti ia akan cepat lah haus dan rosak.

2. Keadaan Jalan

Jalan yang berlubang, tak rata, atau selalu naik turun bahu jalan pun boleh bagi kesan buruk kat tayar kereta. Lama-lama struktur tayar boleh jadi lemah tanpa kita sedar. Kalau nasib anda kurang baik, tayar anda boleh juga bocor kalau anda langgar lubang yang edge-nya agak tajam!

Jadi hati hati bila memandu di jalan yang tak berapa bagus dan cantik, ia sangat bahaya untuk tayar kereta anda.

3. Tekanan Angin Tayar (Tire Pressure)

Ini salah satu perkara yang ramai ambil ringan. Tayar kurang angin atau terlebih angin, dua-dua ni boleh cepatkan tayar jadi haus. Kalau tayar anda kurang angin, bahagian tepi tayar akan haus lebih cepat. Kalau tayar anda terlebih angin pula, bahagian tengah tayar anda akan cepat haus.

Oh ya, selain tu penggunaan minyak pun boleh jadi lebih teruk. Tak percaya? Cuba lah kurangkan angin tayar kereta anda, dan anda akan rasakan kereta anda rasa lebih berat walaupun dan tekan minyak dengan kuat.

Bagaimana nak dapatkan tekanan angin tayar yang paling optimum untuk kereta anda? Tengok je di sticker di tepi pintu kereta. Kat situ ada information penuh, cadangan dari pembuat kereta tentang berapakah tekanan angin yang paling sesuai untuk kereta anda.

4. Alignment & Balancing

Kalau alignment lari, tayar akan haus secara tak sekata. Kadang kadang tu, satu bahagian je botak dan yang lain masih elok. Ini tanda yang ramai orang terlepas pandang. Sudahnya, asyik tukar tayar je.

Ada nasihat klasik yang saya dengar: Katanya untuk buat alignment dan juga balancing setiap 10,000 kilometer. Atau paling malas pun setiap 15,000 kilometer. Dan kalau ikut nasihat ini, tayar kereta anda akan bertahan dengan sangat lama.

Tapi jangan lah pula ikut nasihat ini tapi tetap bawa kereta dengan agresif, confirm la tayar kereta anda tetap tak tahan lama jugak!

Tanda – Tanda Anda Dah Perlu Tukar Tayar

Jangan tunggu sampai tayar dah licin macam kepala botak baru nak bertindak. Itu sangatlah bahaya. Antara tanda yang anda kena alert tentang tayar kereta:

  • Bunga tayar dah nipis
  • Nampak kesan retak-retak pada bahagian tepi tayar
  • Kerap rasa bergegar bila memandu
  • Kereta macam “lari” ke satu arah, mungkin kekiri atau kekanan
  • Bunyi pelik dari tayar bila jalan, contohnya bunyi berdengung

Kalau nampak mana-mana tanda ni, jangan tangguh. Ini mindset yang paling biasa: “Ala, boleh pakai lagi ni”. Masalahnya, tayar yang dah botak tu sangat kurang cengkamannya, lagi lagi bila waktu hujan. Risiko aquaplaning (kereta hilang kawalan atas air) jadi sangat tinggi. Masa tu, brek pun dah kurang berkesan. Bayangkan tengah drive laju atas highway, tiba-tiba hujan lebat. Bahaya ohh!

Gambar yang menunjukkan tayar kereta yang baru, diletakkan bersebelahan dengan tayar kereta yang sudah botak.
Beza tayar baru dan tayar yang botak. Bayangkan dalam hujan, anda memandu di highway dengan kelajuan 110 km/j. Rasa bahaya tak?

Tayar kereta ni bukan barang yang kita boleh “push sampai habis”. Dia adalah satu-satunya benda yang menghubungkan kereta kita dengan jalan. Kalau tayar tak berada dalam keadaan baik, seluruh pemanduan kita jadi berisiko. Jadi, daripada tunggu sampai botak baru nak tukar, lebih baik ambil langkah awal, tukar sebelum botak. Bukan sahaja boleh jimat kos jangka panjang, tapi yang paling penting adalah keselamatan anda dan orang sekeliling terjaga. Kadang-kadang benda kecil macam tayar ni lah yang sebenarnya buat perbezaan besar bila kat atas jalan raya.

Anda tak tahu bengkel mana yang boleh tukar tayar? Cari je di EasyKereta, kami senaraikan bengkel bengkel dan kedai tayar di seluruh Malaysia tau!