Artikel @ EasyKereta

Ini Adalah Checklist Servis Kereta Untuk Orang Perempuan Yang Tak Biasa Dengan Kereta

Tarikh Artikel Ditulis: 22 April 2026

Ramai golongan wanita dan perempuan yang mungkin kurang faham tentang penjagaan kereta. Ada yang hanya tahu, bila servis kereta mereka hanya perlu tukar minyak hitam sahaja. Ini salah ya, semestinya 100% salah!

Bukannya minyak hitam tu tak perlu ditukar bila servis, tetapi ada banyak benda lain lagi yang perlu juga diservis disamping minyak hitam kereta anda.

5 Jenis Cecair Yang Perlu Diservis Pada Kereta

Dalam artikel ini, saya nak tuliskan 5 jenis minyak dan cecair yang perlu diservis secara berkala pada kereta anda. Secara berkala bermakna ia perlu berjadual. Samada mengikut masa ataupun ikut je mileage pada kereta anda.

1. Minyak Hitam

Semestinya yang pertama adalah minyak hitam. Pendapat saya, semua orang tahu yang minyak hitam perlu ditukar bila sampai masanya. Kecuali kereta elektrik EV lah kan, tak perlu tukar minyak hitam. Sebab apa? Sebab kereta EV mana ada enjin pun, jadi minyak hitam pun tak ada.

Jadi bila perlu tukar minyak hitam ni? Anda boleh baca saya cerita tentang bila perlu tukar minyak hitam.

2. Minyak Gearbox (Dipanggil ATF pada kereta Automatik)

Setiap kereta ada Gearbox, dan gearbox ni lah komponen yang buat enjin anda boleh pusingkan tayar. Kiranya gearbox ni sebagai perantara lah antara enjin kereta anda tu dengan tayar.

Dalam gearbox ni ada banyak gear gear yang sentiasa berpusing. Gearbox ni sangat penting untuk dijaga, sebab kalau gearbox rosak, anda akan habiskan ribuan ringgit hanya untuk repair kerosakannya.

Macammana gearbox ni boleh rosak? Kalau gear gear yang berada dalam gearbox ni, pecah, retak, dan akan ada serpihan besi yang pecah berada dalam gearbox. Dan macammana gear boleh pecah dan hasilkan serpihan besi tu? Sebab anda tak tukar minyak gearbox. Jadi gear tu semua berpusing dalam keadaan yang berat, tak efektif dan memenatkan!

Jadi, tukar minyak gearbox okay! Setiap anggaran 20,000 kilometer.

Kalau ikut formula saya, senang je. Setiap tiga kali kita tukar minyak hitam (atau dipanggil juga minyak enjin), tukarlah sekali minyak gearbox ni. Bengkel selalu panggil minyak gearbox ni sebagai minyak ATF (Automatic Transmission Fluid).

Kalau kereta manual, ia dipanggil minyak gear.

3. Minyak Brek & Power Steering

Minyak brek dan minyak power steering ni, biasanya dia jarang rosak. Ia selalunya hanya akan berkurang bila ada kebocoran (leaking) di mana mana bahagian dalam sistemnya.

Jadi untuk minyak brek dan minyak power steering ni, anda boleh lah tukar setiap 50,000 kilometer atau 60,000 kilometer. Jauh kan? Itu anggaran 3 atau 4 tahun sekali. Jadi, anda boleh budgetkan lebih awal sebab ia tak perlu ditukar sekerap minyak hitam.

Oh ya, ada juga kereta kereta yang lebih moden tak gunakan lagi minyak power steering. Sebab dia dah gunakan electric steering. Jadi untuk kepastian, anda tanya lah dulu pada bengkel yang anda nak servis kereta tu, samada kereta anda guna minyak power steering atau tidak. Kalau anda segan nak tanya pada bengkel, anda tanya lah dulu pada Google.

4. Air Radiator

Radiator ni adalah kotak besi yang ada di bahagian paling depan enjin kereta. Kalau anda buka bonnet kereta anda, anda cuba tengok komponen yang ada di bahagian paling depan kereta. Anda akan nampak satu kotak besi, itulah kita panggil radiator.

Kenapa radiator ni ada di bahagian paling depan kereta? Sebab dia nak dapatkan angin bila kereta bergerak. Kerana fungsi dia adalah untuk menyejukkan enjin, jadi dia perlu posisi terbaik untuk dapatkan angin.

Dalam radiator ni ada air, dan air yang ada dalam radiator ni bukanlah kaleng-kaleng. Air yang sepatutnya berada dalam radiator ni dipanggil coolant, yang biasanya berwarna hijau atau merah. Coolant ni lah yang akan buangkan haba yang panas dari enjin kereta anda tu.

Air radiator ni pun perlu ditukar. Tapi anda jangan pula tukar dengan air kosong pula tau. Sebab radiator ni perlu cecair coolant, baru lah dia efektif! Anda boleh tukar cecair coolant ni pada setiap 50,000 atau 60,000 kilometer. Dia sama je dengan minyak brek dan minyak power steering tu.

Jadi senang nak ingat. Bila anda tukar minyak brek, anda tukarlah sekali air radiator. Senang je, anda cari bengkel yang claim dirinya sebagai pakar radiator, sebab pada kebiasaannya bengkel yang buat servis dan repair radiator ni adalah bengkel yang memang fokusnya hanya pada servis dan repair radiator.

Kalau nak servis kereta tapi tak tahu dimana? Senang je, tengok je senarai bengkel yang boleh servis kereta anda di EasyKereta. Kami senaraikan bengkel bengkel kereta di seluruh Malaysia tau!

5. Minyak Differential

Okay, yang ini mungkin sedikit rare, dan kemungkinan besar tak ramai golongan wanita yang pakai kereta yang menggunakan minyak differential ni. Apa itu differential? Differential ni adalah komponen yang buat keempat-empat tayar kereta berpusing sekaligus. Kalau nak senang faham, kereta kereta yang kita panggil Four Wheel Drive (4WD) atau All Wheel Drive (AWD).

Kebanyakan kereta kereta di Malaysia ni tak gunakan pun differential ni. Contohnya Perodua Myvi, perodua Bezza atau Proton Persona, semua tak gunakan differential pun. Kalau nak saya bagi contoh kereta yang gunakan Differential ni, seperti Toyota Hilux, kereta kereta Mercedes yang ada tulis 4matic, Audi TTS yang ada tulis Quattro dan sebagainya.

Differential ni pun ada komponen gear kat dalamnya, yang ada minyak sebagai pelincirnya. Minyak ni perlulah ditukar setiap 50,000 kilometer atau 60,000 kilometer. Nampak, sama juga dengan minyak brek dan air radiator kan?

Jadi, setiap kali tukar minyak brek, tukarlah sekali dengan air radiator dan juga minyak differential ni (jika kereta anda ada guna differential lah kan).